Lagu Negaraku dicadang untuk dimainkan di
pawagam di seluruh negara sebelum tayangan sesuatu filem sempena
sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 negara.....Menteri Komunikasi dan
Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata langkah itu akan
dibincangkan bersama pengusaha pawagam minggu hadapan.
"Saya akan berbincang dengan pengusaha-pengusaha mungkin pada Rabu depan
untuk nyanyian Negaraku dimainkan sama ada dua atau tiga hari sebelum
dan selepas 31 Ogos atau diteruskan hingga Hari Malaysia pada 16
September.
"Bagi saya ini (nyanyian Negaraku) hanya satu
pengorbanan yang sedikit dan kecil untuk kita semua sebagai rakyat dalam
menghargai kemerdekaan dan mengingati mereka yang terkorban dalam
mempertahankan kedaulatan negara," katanya kepada Bernama ketika
dihubungi hari ini.
Beliau berkata bagi tujuan itu, kementerian boleh membekalkan klip video lagu Negaraku kepada pawagam di seluruh negara.
Katanya, pengusaha panggung juga digalak mencari inisiatif untuk
memastikan penonton berdiri ketika lagu Negaraku dimainkan seperti
mencerahkan lampu pawagam.
"Tetapi bagi kami, sebaiknya tiada
paksaan kerana ini sememangnya menjadi tanggungjawab dan kesedaran kita
untuk berdiri bagi menghormati lagu Negaraku dan ia seharusnya dijadikan
amalan.
"Kalau di padang bola, pada setiap perlawanan kita
boleh berdiri apabila lagu kebangsaan dimainkan, kenapa tidak di
panggung wayang hanya beberapa hari sempena Hari Kemerdekaan?" katanya.
Ditanya sama ada cadangan itu akan diteruskan secara harian, beliau
berkata: "Kita tengok dahulu bagaimana...dulu dah buat tetapi dihentikan
kerana mungkin orang anggap ia sebagai perkara biasa dan tiada
kesedaran bila dimainkan setiap hari, selain kesukaran untuk membuat
penguatkuasaan".
Shabery berkata banyak negara luar termasuk
Thailand dan India masih meneruskan tradisi nyanyian lagu kebangsaan
negara mereka di kawasan-kawasan awam serta pawagam pada setiap hari.
"Thailand contohnya, rakyatnya akan berdiri apabila lagu kebangsaan
mereka dimainkan di pawagam hinggakan ia turut dimainkan setiap pagi di
stesen kereta api di mana rakyatnya juga akan berdiri sebagai tanda
penghormatan.
"Kita belum sampai ke tahap itu, tetapi saya rasa
tidak salah kalau ia dikaji sejauh mana yang kita boleh buat, tetapi
kita tidak mahu juga jika semangat itu tidak dipupuk dan rakyat
menganggap ia perkara biasa dan tidak perlu diberi penghormatan,"
katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan
syarikat-syarikat swasta memainkan lagu Negaraku pada acara yang dianjur
mereka dalam usaha pembudayaan dan penghayatan lagu kebangsaan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan