SRIKANDI SHARIENA

Khamis, 13 Mac 2014

Hassan Ali ~ Pelan Konsesus Nasional Umpan Anwar Selesai Masalah Peribadi????

Pada 10 haribulan Mac, beberapa jam sebelum penamaan calon PRK DUN Kajang, Anwar Ibrahim di dalam ucapannya pada satu perhimpunan di Kajang telah membatalkan saranannya sendiri untuk mengadakan Pelan Konsensus Nasional. Seperti kebanyakan kenyataan-kenyataan lain daripada beliau yang berlaku tidak semena-mena, pembatalan Konsensus Nasional ini juga dibuat dengan sewenang-wenang. Dilaporkan juga pembatalan itu tidak dirujuk kepada Majlis Presiden Pakatan Rakyat dan tindakan itu merupakan tindakan unilateral amalan biasa yang dibuat oleh Anwar Ibrahim.

Sewaktu mengusulkan pelan Konsensus Nasional, Anwar Ibrahim membentang senario dan kedudukan negara dari sudut ekonomi, sosial dan perhubungan di antara rakyat berbagai kaum, agama dan latar belakang. Bagi beliau Konsensus Nasional yang dicadangkan itu boleh membawa penyelesaian kepada permasalahan-permasalahan yang dijadikan latar belakang kepada cadangan beliau itu. Beliau meminta semua pihak khususnya pimpinan BN/UMNO menerima cadangan beliau dan merangka satu pelan tindakan untuk merealisasikannya.

Tiba-tiba dengan tidak semena-mena pada malam 10 Mac tersebut, beliau sendiri bertindak membatalkan cadangan Konsensus Nasional itu. Pembatalan dibuat atas alasan keputusan Mahkamah Rayuan yang tidak menyebelahi beliau yang dianggapnya sebagai keputusan mahkamah yang dipengaruhi oleh pimpinan UMNO/BN.

Amat jelas bahawa pelan Konsensus Nasional yang pada dasarnya mempunyai matlamat murni menyatupadukan rakyat negara ini demi untuk keberlangsungan negara sebenarnya tidak lebih daripada sandiwara politik untuk mendapatkan perlindungan buat diri beliau sendiri daripada tindakan mahkamah yang sudah dijangka tidak akan menyebelahi beliau.

Persoalannya ialah Konsensus Nasional itu adakah untuk kesejahteraan rakyat dan keberlangsungan negara atau untuk tujuan menyelamatkan seorang individu yang ketika itu sedang dihimpit oleh persoalan besar mengakibatkan beliau merengkok di penjara. Keputusan Mahkamah Rayuan memenjara beliau selama 5 tahun sudah semestinya merupakan satu lagi peristiwa ngeri yang amat digeruninya yang akan menimpa dirinya.

Tidak syak lagi bahawa idea Konsensus Nasional adalah untuk dijadikan perisai untuk melindungi diri beliau daripada tindakan mahkamah dan sebagai jalan meraih simpati dan sokongan rakyat dan seterusnya mempertahankan maruah yang sudah sekian lama tercemar.

Rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, keturunan, pegangan agama dan latar belakang politik semestinya mengutuk keras mainan wayang Anwar Ibrahim ini. Jangan ada di antara kita yang termakan gula-gula Anwar Ibrahim itu. Jangan juga ada di antara kita yang terperangkap dengan pelan tindakan Anwar bersama konco-konconya untuk sekali lagi memperkudakan rakyat semata-mata untuk menyelamatkan dirinya yang semakin terdesak yang kini terkapai-kapai untuk mencari talian hayat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan