Ahli Parlimen Seputeh, Teresa
Kok Suh Sim digesa meminta maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat
Malaysia berhubung video sindiran sempena sambutan Tahun Baharu Cina, baru-baru ini yang telah mencetuskan rasa tidak puas hati banyak pihak termasuk masyarakat Cina sendiri.
Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohd. Razlan Muhammad Rafii
berkata, video seperti itu tidak wajar dilakukan oleh mana-mana
individu, apatah lagi seorang pemimpin politik ketika masyarakat
berbilang kaum bergembira menyambut perayaan Tahun Baharu Cina.
Sehubungan itu, katanya, Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan sebulat suara
mengutuk keras video lakonan Teresa itu kerana tindakan tidak
bertanggungjawab itu jelas sengaja dilakukan bagi menimbulkan kebencian
terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).
Orang Melayu, Cina dan
India mesti melihat video itu supaya mereka boleh menilai sendiri
pemimpin yang dipilih oleh pengundi Seputeh pada pilihan raya umum lalu.
Kami mahu Teresa diberikan pengajaran di atas kebiadapannya bagi
memastikan benih-benih kebencian yang terus disebarkan itu tidak menular
dalam kehidupan masyarakat negara berbilang kaum,” katanya dalam sidang
akhbar di sini hari ini.
Sebelum ini, video sindiran sempena
sambutan Tahun Baharu Cina yang memaparkan Teresa selaku moderator
bersama tiga tetamu undangan mendapat kecaman pelbagai pihak, khususnya
pengguna laman sosial.
Video berdurasi hampir 12 minit yang
disiarkan di YouTube itu antara lain memperlihatkan barisan tetamu
undangan berkenaan mengeluarkan kenyataan menyindir beberapa perkara,
termasuk sistem pendidikan negara dan isu keganasan di Sabah.
Sindiran-sindiran lain didakwa turut ditujukan kepada Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Malah, seorang tetamu dikenali Master Yan Yan yang ditanya tentang
Tahun Melawat Malaysia 2014 mengutuk Sabah dengan kenyataan berikut :
But then, you can travel to Sabah, where you get to see pirates, with a
bonus show of kidnapping and scenes of open fire.” (anda boleh melancong
ke Sabah, di mana anda boleh melihat lanun, dengan pertunjukan bonus
penculikan dan babak tembakan).
Dalam pada itu, Mohd. Razlan
juga memberitahu, pihaknya akan menayangkan video tersebut kepada orang
ramai di setiap bahagian bagi mendapat maklum balas rakyat selepas
menontonnya.
Kita akan membuat kajian sikap, adakah mereka merasakan video itu meningkatkan semangat perkauman atau sebaliknya.
Jika keputusan kajian menunjukkan penayangan video tersebut mampu
menimbulkan kemarahan serta menyemai semangat perkauman, kita mahu
kerajaan ambil tindakan tegas terhadap Teresa,”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan