Masih lagi di dalam “mood” Tahun Baru Cina. Tahun ini adalah
Tahun Kuda. Saya masih lagi memenuhi jemputan rumah terbuka di rumah
beberapa rakan kaum Tiong Hua di utara semenanjung. Banyak juga makan “lokam”, nyaris sakit perut dibuatnya…
Berkawan dengan rakan dari kaum Cina tidak salah dari sudut syarak.
Atas dasar persahabatan, saya hadir dan berkongsi kemeriahan hari
kebesaran mereka. Pun begitu, saya tidak pulang dengan “tangan kosong”,
ada cerita di sebalik Tahun Kuda kali ini…
Rata-rata kawan Cina
saya kurang menggemari politik. Mereka lebih gemar pada “ringgit
Malaysia”. Kalau dapat “dollar” atau “pound sterling”, mata mereka lebih
“bersinar”. Biasalah, kan? Jadi tidak hairan jika ada di kalangan rakan
saya yang bekerja di UK, Singapura dan Australia. Bagi mereka, cari
kekayaan adalah satu kemestian…
Saya tertarik pada perbualan
mereka pada tahun baru Cina kali ini. Pada mulanya mereka bercerita
tentang desas-desus yang mengatakan bahawa rakyat Malaysia “susah cari
makan” pada tahun 2014. Malah ada pula yang mengatakan bahawa mereka
mungkin bankrap dan mati keburuan pada akhir tahun ini…
Mereka
menjangkakan kos sara hidup rakyat Malaysia akan meningkat pada tahun
ini. Dan itu akan menyebabkan “shopping complex” tutup, lapangan terbang
akan lengang, restoran lebih banyak kerusi dari pelanggan dan mungkin
tidak ada sebuah premis atau bangunan pun akan terbina pada tahun ini.
Semuanya gara-gara “kos sara hidup meningkat”!
Saya hanya diam
saja ketika mereka berbual. Sekali sekala saja saya menyampuk. Itu pun
kerana minta dihulurkan botol air coca-cola di hujung meja. Peliknya,
mereka bercerita tentang “kesusahan rakyat”, tapi wajah mereka ceria dan
ketawa setiap kali “bersungut”… kenapa?
Rupanya saya tersilap!
Rupanya
kata-kata mereka itu hanyalah momokan sahaja. Mereka menyindir
sebenarnya. Menyindir? Menyindir siapa? Rupanya mereka menyindir seorang
dua rakan yang memang malas bekerja dan suka menyalahkan orang lain
dalam semua hal…
Sebenarnya, rakan-rakan Cina saya majoritinya
tidak percaya mereka akan hidup susah pada tahun ini. Meskipun ada
dakwaan mengatakan kos sara hidup meningkat tahun ini, namun seorang
rakan yang merupakan seorang “tukang tukar tiub motor” di sebuah bengkel
menafikan dakwaan tersebut…
Kata mereka, hanya mereka yang
pemalas dan bodoh saja yang akan termakan dengan dakwaan itu. Mereka
menegaskan bahawa dakwaan itu hanyalah semata-mata untuk
menakut-nakutkan rakyat seolah-olah nenek kebayan yang menceritakan
tentang hikayat mitos dongeng kolot!
Mereka berhujah, kos sara
hidup tetap meningkat setiap tahun. Sama ada disedari atau tidak, ia
tetap meningkat dan kita tidak dapat lari dari normal ekonomi itu.
Misalnya mereka mendakwa bahawa kos majlis perkahwinan orang Cina di
zaman ini mampu mencecah sehingga RM100,000 sedangkan dulu hanyalah
sekitar RM10,000 sahaja.
“Satu meja sekarang pun paling murah
RM999.. ada yang sampai RM1999. U ingat nanti tahun 2020 pun harga
kahwin Cina akan kekal macam tu saja ka? Mesti naik punya maaaa..”, kata
mereka.
Mereka berkata, peliknya, tidak ada pula yang kecoh
memprotes kos sara hidup meningkat setiap tahun! Kenapa? Kerana memang
orang Cina menguasai perniagaan dan mereka sentiasa mencari jalan untuk
kekal untung setiap masa. Bezanya hanyalah “margin” keuntungan, sama ada
untung besar atau sedikit…
Mereka berhujah, selalunya orang
yang malas bekerja, tak tahu menilai harga pasaran dan tak tahu
menguruskan kewangan sendiri saja yang akan mengeluh serta bimbang
dengan kenaikan kos sara hidup. Jadi, tak hairanlah jika ramai orang
Melayu yang bersungut dengan kenaikan kos sara hidup…
Kata-kata
mereka itu membuat muka saya jadi “merah”. Saya Melayu dan sudah
tentulah saya terkesan dengan hujah mereka itu, bukan? Tapi mereka
mungkin kenal kawan mereka ini lantas berkata,”Takpa.. U tarak hal
punya.. U rajin punya orang…”, kata mereka memujuk…
Saya
memikirkan perbualan rakan-rakan saya itu sepanjang perjalanan pulang ke
rumah. Sambil memandu, saya menyimpulkan kebenaran pada hujah
rakan-rakan saya itu. Kos sara hidup meningkat? InsyaAllah, kalau Allah
sudah tetapkan rezeki saya, kos sara hidup meningkat setinggi mana pun
saya yakin saya tidak akan mati kebuluran…
Sambil
tersengih-sengih di sepanjang perjalanan, saya ternanti-nanti penghujung
tahun 2014 ini. Adakah rakyat Malaysia yang akan “mati kebuluran”?
Apakah Sogo akan bankrap dan gulung tikar? Bagaimana pula dengan Mydin,
Giant dan Tesco? Apakah kedai mamak yang jual Nescafe Ais berharga
RM2.50 akan tutup kedai akibat tiada pelanggan?
Sama-samalah
kita nantikan hujung tahun 2014 nanti. Kononnya tahun ini merupakan
tahun rakyat susah mati kebuluran? Kita sama-sama saksikan nanti…
Tiada ulasan:
Catat Ulasan