Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis berkata disebabkan
kemelut yang serius dalam PKR telah memaksa pilihan raya kecil (PRK)
Dewan Undangan Negeri kawasan Kajang untuk diadakan.
Disebabkan
parti itu hendak menyelesaikan kemelut dalaman yang melanda, mereka
mengambil tindakan yang membebankan pengundi di Kajang yang rata-rata tidak senang hati dengan perkembangan itu, katanya.
Ditanya mengenai cabaran PKR agar beliau bertanding pada pilihan raya
berkenaan, Najib berkata PKR tidak patut mengaitkan pilihan raya itu
dengan dirinya, kerana beliau bukan punca masalah itu.
"Ini
bukan masalah saya, ini masalah mereka. Saya tidak ada masalah apa-apa
pun. Masalahnya ialah dalam PKR, masalah mereka yang mencetuskan pilihan
raya kecil ini. Ini semua masalah dalaman mereka, kenapa pula mereka
pesongkan masalah itu dan kaitkan dengan saya?" tegas beliau.
"Kalau kita tengok reaksi sekarang ini kebanyakannya negatif daripada
positif, itu masalah dia. Jadi pesan saya, jangan heret saya sekali,
(sedangkan)ini masalah dalaman mereka," katanya.
Perdana
menteri berkata demikian dalam persidangan media selepas mengadakan
pertemuan dengan kira-kira 40 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang
mewakili kaum Melayu dan Islam di bilik mesyuarat pejabatnya di sini.
Selasa lepas, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
mengumumkan bahawa Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan
bertanding kerusi DUN Kajang ekoran peletakan jawatan penyandangnya Lee
Chin Cheh yang menghangatkan lagi spekulasi bahawa Anwar akan
menggantikan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar.
Pilihan raya
umum 2013 menyaksikan Lee memenangi kerusi DUN Kajang dengan majoriti
6,824 undi dalam pertembungan enam penjuru membabitkan calon MCA dari
BN, Berjasa dan tiga calon bebas.
Sementara itu menjawab satu
lagi soalan, Najib berkata banyak pandangan diutarakan pelbagai pihak
mengenai langkah selanjutnya yang akan diambil Barisan Nasional
berhubung PRK itu, termasuk berkaitan pemilihan calon, namun menurutnya
ia akan hanya diputuskan pada mesyuarat Majlis Tertinggi BN nanti.
Katanya beliau belum memutuskan tarikh mesyuarat yang akan diadakan
selepas Tahun Baharu Cina nanti, dan ia bergantung kepada tarikh
penamaan calon yang dijangka akan diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan
Raya (SPR) minggu depan.
"Apapun biar MT BN buat keputusan.
Saya belum tetapkan tarikh (mesyuarat)saya nak tahu bila hari penamaan
calon dulu...biar saya teliti dulu," kata Najib.
Sementara itu
merujuk kepada perjumpaan dengan NGO berkenaan, perdana menteri berkata
beliau telah memberikan penerangan mengenai pelbagai isu semasa, dan
mereka pula telah menyuarakan sokongan kepada kerajaan.
Katanya
beliau memberi penjelasan mengenai isu seperti harga barang dan
bagaimana kerajaan menanganinya, masalah berkaitan media sosial, kalimah
Allah dan sebagainya.
"Matlamatnya ialah untuk mencari satu
bentuk kefahaman yang lebih jelas dan menentukan hala tuju masa depan
negara, sebab apapun kita tidak boleh benarkan isu-isu ini
memecah-belahkan kita,
"Kita mungkin ada perbezaan pendapat, tapi ia tidak seharusnya melebarkan lagi jurang perpecahan sesama kita," katanya. -
Tiada ulasan:
Catat Ulasan