Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan
hasrat Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu bertanding pada
pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang jika diadakan, sebagai usaha untuk mencapai matlamatnya menjadi perdana menteri.
Bekas perdana menteri itu berkata ia adalah langkah untuk naik ke atas dan Anwar tidak akan berhenti pada tahap itu sahaja.
“Saya fikir itu bukan matlamatnya tetapi itu adalah tangga yang
digunakan untuk mencapai matlamatnya (menjadi perdana menteri),” katanya
kepada pemberita selepas ditemu bual dalam program ‘Dalam Radar Khas’
terbitan Bernama Radio24 di Wisma Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Anwar mahu
bertanding pada pilihan raya kecil DUN Kajang yang dilihat umum sebagai
langkah untuk menjadi menteri besar Selangor.Semalam, Anwar dinamakan
sebagai calon PKR bagi pilihan raya kecil DUN Kajang, sekiranya
diadakan, selepas kerusi itu dikosongkan oleh wakil rakyat PKR sendiri
Lee Chin Cheh.
Kerusi DUN Kajang dikosongkan oleh Lee dengan
meletakkan jawatan pada Isnin selepas memenangi kerusi itu pada pilihan
raya umum Mei lepas dengan majoriti 6,824 undi dalam pertembungan enam
penjuru dengan BN, Berjasa dan tiga calon bebas.
Ditanya sama
ada tindakan Anwar itu dilihat sebagai seorang yang ‘gila kuasa’, Dr
Mahathir berkata : “Memang Anwar dari dulu, saya tidak tahu gila kuasa
atau tidak, tetapi beliau masuk Umno bukan kerana sayang kepada Umno
kerana jika tak masuk Umno, tak boleh jadi perdana menteri.
“Kalau masuk PAS, (Anwar) tak mungkin jadi perdana menteri, sampai
sekarang ini pun, dia masuk (Umno) ada alasan, yang ini pun (bertanding
pada pilihan raya kecil) ada alasan untuk mencapai matlamatnya,”
katanya.
Ditanya sama ada hasrat Anwar untuk bertanding pada
pilihan raya kecil itu mempunyai kaitan dengan kes liwat beliau untuk
memberi tekanan kepada kerajaan, Dr Mahathir berkata beliau tidak tahu
sama ada ia mempunyai kaitan secara langsung atau tidak.
“Tetapi jika beliau menjadi perdana menteri, ia satu tahap ke arah itu,
jadi perdana menteri, maka banyaklah benda beliau boleh buat untuk
melindungi dirinya,” katanya.
Mengulas sama ada Barisan
Nasional (BN) perlu meletakkan calon pada pilihan raya kecil itu, Dr
Mahathir berkata terpulang kepada BN untuk menentukannya kerana BN
adalah parti campuran yang terdiri daripada pelbagai kaum.
“Jadi, terpulang kepada kebijaksanaan kepimpinan BN untuk menentukan siapa yang layak untuk bertanding di kawasan itu.
“Dan apabila keputusan dibuat, jangan ada bantahan lagi, cuma berpegang
kepada semangat gabungan parti campuran, kita sokong sahaja,” katanya.
Mengulas kriteria yang perlu rakyat tahu sebelum memilih anggota Dewan
Undangan Negeri yang baharu, bekas perdana menteri itu berkata rakyat
perlu mengambil kira dan menilai banyak perkara termasuk prestasi dan
karektor seseorang itu serta sumbangannya kepada negara.
“Jika
seseorang itu cuma berjuang untuk hanya nak jadi perdana menteri atau
menteri besar, saya fikir kita tak harus perlu memilih orang itu tetapi
(sepatutnya orang) yang berjuang untuk berkhidmat kepada rakyat,”
katanya.
Mengulas kenyataan Anwar semalam supaya BN tidak
meletakkan calon pada pilihan raya kecil itu dengan alasan elak
pembaziran, Dr Mahathir berkata : “Saya melihat jika boleh, (beliau
mahu) Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) letak jawatan dan
angkat dia sebagai perdana menteri, itulah yang terbaik bagi dia.”
Terdahulu, ketika menjawab soalan dalam program itu berhubung
perancangan Anwar yang dikatakan untuk menjadi menteri besar Selangor,
beliau berkata Anwar memang mahu menjadi ketua kerajaan.
“Kalau
tak boleh yang besar, yang kecil sikit pun bolehlah cuba, dengan
harapan rakyat akan menghargai dan memberi kejayaan kepada cita-citanya
untuk menjadi perdana menteri.
“Cita-cita yang terbesar bagi
Anwar ialah menjadi perdana menteri. Soal apa jadi selepas jadi perdana
menteri itu tak penting, jadi perdana menteri (dulu),” katanya.
Mengulas kenyataan Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli bahawa meletakkan
Anwar sebagai calon pada pilihan raya kecil itu sebagai pergerakan
untuk menggulingkan kerajaan sedia ada, Dr Mahathir berkata itu adalah
tafsiran beliau.
Katanya sebenarnya usaha untuk menjatuhkan
kerajaan sedia ada telah bermula sejak beliau menjadi perdana menteri
dan tugas parti lawan ialah menjatuhkan parti pemerintah bagi
membolehkan mereka menjadi pemerintah.
Katanya soal isu tidak
penting dan parti lawan akan mengecam apa juapun yang dilakukan oleh
kerajaan termasuk memberi wang kepada mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan