Semalam
dianggarkan kira-kira 50,000 orang anak watan Malaysia telah
berkesempatan hadir di majlis perlancaran Kibaran Jalur Gemilang
Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Sungai Petani, Kedah sempena Hari
Kemerdekaan Ke-56 yang akan disambut pada 31 Ogos 2013.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan turut disertai Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir serta pemimpin negeri yang lain.
Dari anggaran angka hadirin yang hadir, jelas dapat dilihat kesedaran
patriotisme masing-masing yang tentunya memahami kedaulatan dan
kemerdekaan negara ini tetap terpelihara selagi mana Jalur Gemilang
masih berkibar megah.
Mereka yang berkesempatan hadir itu
ternyata telah membuktikan semangat patriotisme masing-masing kekal utuh
dan terus bersemarak. Mereka bangga menyertainya kerana itulah salah
satu secebis sumbangan tanda mereka adalah anak watan Malaysia.
Sumbangan itu kelihatan kecil tidaklah sampai ke tahap sama seperti
mana pengorbanan oleh perajurit negara yang sanggup mempertahankannya
sepenuh jiwa raga sehingga titisan darah terakhir di medan perang tapi
ia tetap penuh makna, bukan begitu?
Bagaimana dengan kita pula?
Mungkinkah untuk julung kalinya bermula hari ini kita akan mula
mengibarkan bendera kecil Jalur Gemilang di kenderaan samada pada cermin
atau di dalamnya atau mungkin juga yang bersaiz besar di kediaman
masing-masing?
Bendera kecil Jalur Gemilang yang bersaiz hanya
setengah dari kertas A4 itu harganya tidak mahal, hanya lebih kurang
RM1.00 hingga RM1.50 jauh lebih murah dari sekeping kad prepaid manakala
yang sederhana besar untuk kediaman hanya sekitar RM5.00 – RM7.00 lebih
rendah berbanding harga sekotak rokok, jadi ramai yang tentu mampu
membelinya.
Ayuh buktikan diri kita adalah Anak Malaysia dan
jadilah sebahagian dari warganegara yang sentiasa bersemarak semangat
patriotisme dan menghayati erti kemerdekaan tanahair tercinta ini, jika
bukan kita yang mengibar dan menyanjungnya, siapa lagi?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan