Iktibar Dari Tragedi Berdarah Di Mesir???
Mesir yang baru merangkak-rangkak
untuk pulih dari kemelut jangkitan Arab Spring yang membawa kepada
bantahan jalanan berdarah anti Mubarak pada 2011 dan sinonim dengan
kebangkitan sebahagian rakyatnya di Dataran Tahrir tika itu seakan sudah
terkena badi tragedi demonstrasi jalanan.

Disebabkan kuasa jalanan
dan himpunan demonstrasi berdarah telah membawa kejatuhan Mubarak
sebagai Presiden paling lama dan dek sebab yang sama mengakibatkan
Mohamed Morsi dari Ikhwanul Muslimin menjadi Presiden Mesir yang paling
singkat memerintah dalam sejarah negara itu.
Morsi yang menang
dalam pemilihan Presiden pada 16–17 Jun 2012 dan mula menggalas
tanggungjawab tersebut semenjak 30 June 2012 hanya sempat memerintah
setahun lebih sedikit bila mana kemudiannya dijatuhkan pada 3 Julai 2013
melalui rampasan kuasa tentera berikutan demonstrasi jalanan oleh
penyokong lawannya.
Inilah
bahayanya apabila demonstrasi jalanan dijadikan tanda aras untuk
menonjolkan kekuatan di mana kesan kemudian hari yang menang akan
berdepan dengan tindakan serupa dari lawannya dengan pelbagai alasan
bagi menghalalkan demonstrasi dan himpunan jalanan.
Bila itu
berlaku rampasan kuasa oleh tentera akan berulang lagi sebagaimana
dialami oleh Morsi dan untuk entah ke berapa kali lagi banyak nyawa yang
akan melayang dan terus melayang sebagaimana sedang berlaku kini.
Arab Spring yang lahir dari perbuatan bunuh diri seorang rakyat Tunisia
berusia 26 tahun yang membakar dirinya ini memang berhantu. Sahihlah
disebabkan asal usul Arab Spring yang tidak baik inilah yang
mengakibatkannya lebih banyak mudarat berbanding manfaat untuk umat.
Tapi itu pun masih ada sesetengah kita di Malaysia yang turut teruja
dijangkiti hantu Arab Spring dan begitu teringin merealisasikannya
sebagai Malaysia Spring. Semacam kerja gila mendewakan peristiwa hasil
perbuatan bunuh diri sebagai pedoman.
Dulu kebangkitan Arab
Spring inilah yang di megah-megahkan oleh dunia kerana berjaya
menjatuhkan Mubarak namun kemudiannya demam Arab Spring yang belum kebas
itu jugalah merencatkan pemerintahan Morsi di Mesir.
Nasib
yang menimpa Morsi memang malang tapi itulah takdir ketentuan Allah
S.W.T. Manusia hanya merancang namun Allah S.W.T yang menentukan.
Tragedi berdarah yang sedang berlaku di Mesir tika ini yang menyaksikan
ramai rakyatnya terkorban sememangnya agak memilukan kita semua.
Seeloknya kita di Malaysia mengambil iktibar darinya mudah-mudahan
tragedi berdarah sedemikian tidak berlaku di tanahair tercinta ini.
Apa pun, sebagai umat Islam yang bersaudara dan bersimpati dengan nasib
yang melanda rakyat Mesir sama-samalah kita mendoakan mudah-mudahan
segalanya kembali pulih tenteram demi kebaikan semua, InsyaAllah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan