Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar
Ibrahim mengumumkan kesediaannya mengadakan pertemuan bersama Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mencari titik penyelesaian
berkaitan masalah negara.....Menerusi ucapan perutusan bersempena
sambutan kemerdekaan ke 56, Anwar turut meminta satu pertemuan segera diadakan antara Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN).
“Titik pertemuan BN dan PR perlu segera dicari bagi menyelamatkan
negara di samping menyeru melupakan kesalahan masing-masing sempena hari
kemerdekaan negara esok,” katanya ketika menyampaikan perutusan itu di
Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.
Ahli Parlimen
Permatang Pauh itu menjelaskan, perbincangan dijangka akan melibatkan
isu kaum dan agama yang mencetuskan ketegangan akhir-akhir ini; masalah
ekonomi negara yang semakin merudum dan masalah jenayah yang semakin
membimbangkan rakyat di seluruh negara.
Katanya, PR juga
menerima keputusan Pilihan Raya Umum 13 (PRU13) yang berakhir 5 Mei lalu
di sampung akan melupakan ketegangan dan penyelewengan yang dilakukan
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semasa pilihan raya 5 Mei lalu.
“Datuk Seri Najib Razak harus terbuka untuk berbincang kerana banyak
dasar dan program yang boleh disepakati bersama. Pendekatan PR untuk
mengajak BN berbincang bukan bagi membentuk sebuah kerajaan perpaduan
tetapi perbincangan terbuka yang biasa diamalkan kerajaan demokrasi.
“Kami mahu perubahan yang adil bagi memastikan negara mengamalkan
prinsip demokrasi. Ini kerana pendedahan Fitch Ratings baru-baru ini
perlu dipandang serius oleh kerajaan kerana kira-kira RM20 billion
setahun dapat dijimatkan jika urus tadbir ekonomi negara dilakukan
dengan cara yang baik.
“Bagi mencapai hasrat itu, maka penting
kerajaan BN mengurangkan defisit fiskal serta menangani rasuah serta
telus dalam pemberian tender,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri telah menggesa PR perlu bersedia menerima keputusan PRU13 sebelum perbincangan dimulakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan