Permohonan Rayuan BR1M Dilanjutkan Sehingga 31 Mei Ini – Ahmad Maslan
  Permohonan rayuan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dilanjutkan sehingga
 31 Mei ini bagi memberi lebih peluang kepada mana-mana individu yang 
layak mengemukakan rayuan masing-masing.
 
 Timbalan Menteri 
Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata sehingga 20 April lepas, kerajaan 
menerima sebanyak 246,911 rayuan BR1M daripada mereka yang tidak terpilih sebagai penerima.
 
 “Sebelum ini, kementerian ada menghantar surat kepada pemohon yang 
gagal mendapatkan BR1M dengan menyatakan sebab mengapa permohonan mereka
 ditolak.
 
 “Jadi bagi rayuan ini, mereka perlu sertakan dokumen 
sokongan mengikut sebab penolakan tersebut bersama-sama borang rayuan 
BR1M sebagai bukti yang mereka sebenarnya layak terima bantuan itu,” 
katanya di sini hari ini.
 
 Beliau berkata rayuan boleh dibuat di
 mana-mana cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau memuat turun 
borang rayuan di laman web LHDN dan setiap rayuan mesti disertakan 
dokumen sokongan untuk pertimbangan.
 
 Ahmad yang juga Ketua 
Penerangan UMNO berkata bagi tempoh sehingga 20 April lepas, peruntukan 
sebanyak RM2.47 bilion diagihkan kepada 3,805,643 penerima BR1M 
berpendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah manakala perbelanjaan sebanyak 
RM633.8 juta pula digunakan untuk bayaran kepada 2,112,906 individu 
bujang dengan pendapatan RM2,000 ke bawah.
 
 Katanya bagi isi 
rumah berpendapatan RM3,001 hingga RM4,000 pula, kerajaan membelanjakan 
sebanyak RM157 juta untuk diagihkan kepada 349,226 penerima layak.
 
 “Sehingga kini, kerajaan mengagihkan peruntukan sebanyak RM3.4 bilion 
kepada 6.5 juta penerima BR1M seluruh negara, jadi mana-mana individu 
yang merasakan mereka layak mendapatkan bantuan itu, segera kemukakan 
rayuan sebelum 31 Mei ini,” katanya.
 
 Beliau berkata pembayaran BR1M bagi permohonan rayuan hanya akan dilakukan selepas tarikh tutup rayuan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan