“Maka kalau ada yang mendakwa
konon kalau diberi kuasa kepada dia, dalam satu saat dia boleh cari
pesawat MH370 tersebut, memanglah tidak masuk akal sama sekali, malah
boleh dikatakan memeperbodohkan pertimbangan akal budi rakyat Malaysia
keseluruhannya,”
Itu ungkapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Tun Razak membidas kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dengan angkuh
menyatakan mampu menyelesaikan krisis kehilangan MH370 dalam masa satu
saat.
Selain menegaskan kenyataan itu sebagai tidak masuk akal,
Najib juga menyifatkan Anwar telah memperbodohkan pertimbangan akal budi
rakyat di negara ini.
Najib berkata demikian dalam ucapannya pada Perhimpunan Khas bersama warga Kementerian Kewangan.
Tambah Najib selama ini, usaha pencarian MH370 memperlihatkan bertapa
perlunya sokongan daripada negara luar di rantau ini mahupun di luar.
Ini kerana kehilangan pesawat berkenaan sangat rumit dan cabaran dan usaha mencarinya adalah sangat di luar dugaan.
Pada 5 April lepas, sebuah akhbar Cina menyiarkan sebuah artikel
wawancara Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan majalah
Southern Weekly bahawa jika dirinya Perdana Menteri, beliau hanya
memerlukan satu saat untuk menyelesaikan isu kehilangan pesawat MH370.
Beliau yang ditemubual oleh wartawan, Chang Long Yan berkata insiden
itu menunjukkan pengurusan pentadbiran kerajaan hari ini adalah teruk.
Kerajaan katanya tidak mempercayai juruterbang, mengawal media massa,
tidak mempunyai pegawai berkelayakan serta tiada pasukan cendekiawan
yang mampu memberi nasihat.
Penerbangan MH370 bersama 227
penumpang dan 12 anak kapal berlepas pada 8 Mac dari Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam dan hilang daripada
imbasan radar kira-kira sejam kemudian ketika terbang di ruang udara
Laut China Selatan. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30
pagi hari sama.
Misi mencari pesawat itu melibatkan pelbagai
negara, pada mulanya di kawasan Laut China Selatan dan kemudiannya -
selepas pesawat itu dikesan melencong daripada laluan asal - di
sepanjang dua koridor iaitu koridor utara dari sempadan Kazakhstan dan
Turkmenistan hingga utara Thailand dan koridor selatan dari Indonesia
sehingga selatan Lautan Hindi.
Berikutan hasil analisis terhadap
data satelit, syarikat telekomunikasi satelit United Kingdom Inmarsat
dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB)
merumuskan Penerbangan MH370 terbang di sepanjang koridor selatan dan
kedudukan terakhirnya di tengah-tengah Lautan Hindi, barat Perth,
Australia.
Pada 24 Mac, Najib mengumumkan penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi".
Ketua Penyelaras Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) Ketua Marsyal
Udara (Bersara) Angus Houston, hari ini berkata sebanyak sembilan
pesawat tentera, dua pesawat awam dan 11 kapal membantu dalam misi
pencarian MH370.
Selain itu, Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim
Australia (AMSA) merancang untuk membuat pencarian di udara membabitkan
62,063 kilometer persegi dan lokasi sasaran berada pada 2,170 kilometer
barat laut Perth.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan