SRIKANDI SHARIENA

Khamis, 6 Februari 2014

Isu PKNS: Jangan Jadikan Penjawat Awam Mangsa Kemelut Politik - Cuepacs????

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Azih Muda meminta supaya penjawat awam tidak dijadikan mangsa kemelut politik yang didakwa dikaitkan dengan isu pengguguran Timbalan Presiden PKR, Mohammed Azmin Ali sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).


Azih yang mengulas mengenai 20 kakitangan kontrak anak syarikat PKNS, PKNS Holdings Sdn Bhd (PHSB) ditamatkan perkhidmatan serta-merta pada Selasa berkata, kemungkinan wujud campur tangan politik sehingga menyebabkan tindakan pemecatan itu.

“Kesemua kakitangan ini hanya menjadi mangsa keadaan. Jika ada masalah lain yang tidak melibatkan pekerja, jangan turut sama heret penjawat awam.

“Apapun sebab atau masalah yang berlaku, PKNS atau anak syarikatnya perlu melihat dari semua aspek, dalam konteks menyeluruh sebelum membuat keputusan. Tindakan menamatkan perkhidmatan serta-merta itu adalah tidak adil,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Rabu.

PKNS menerusi kenyataannya pada Rabu menyifatkan pemecatan seramai 20 kakitangan PHSB merupakan langkah perkhidmatan cekap atau 'value for money'.

Menurut kenyataan itu, keputusan menamatkan kontrak dibuat dalam satu operasi penyusunan semula organisasi sumber manusia bagi mengelak pertindihan tugas.

Azih berkata, PKNS sepatutnya mengutamakan kebajikan pekerja yang perlu menyara kehidupan sekeluarga dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.

“Ini bukan soal pekerja kontrak atau perkhidmatan cekap atau ‘value for money’, tetapi ini soal kebajikan. Selangor sendiri dikatakan sebagai negeri berkebajikan, utamakanlah kebajikan itu.

“Sehubungan itu, saya meminta supaya PKNS meneliti semula keputusan menamatkan perkhidmatan kakitangan itu dan memberi peluang kepada mereka untuk menyara kehidupan,” katanya.

Beliau menambah, diharapkan tindakan menamatkan perkhidmatan tidak dijadikan sebagai satu trend melibatkan penjawat awam semata-mata untuk menambahkan keuntungan.

“Sebagai kerajaan atau GLC (syarikat berkaitan kerajaan), mereka seharusnya berkongsi keuntungan itu dengan mengutamakan kebajikan pekerja,” katanya.

Sebelum ini, Pengurus Besar PKNS, Datuk Othman Omar dan Setiausaha Eksekutif PKNS, Norita Mohd Sidek ditukar ke pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) berkuatkuasa serta-merta, berikutan isu pengguguran Azmin sebagai Ahli Lembaga Pengarah pada 10 Januari lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan