MELIHAT kepada
suasana mainan politik tempatan semasa, ramai pemerhati politik yang
berkelayakan apatah lagi yang tidak bertauliah pening memikirkan hala tuju yang ingin dibawa oleh politikus yang dilantik mewakili suara pendesak rakyat ke dalam dewan yang mulia.
Fenomena 'Kajang Move' ciptaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pasti
menjadi tajuk perbualan hangat setidak-tidaknya untuk beberapa bulan ini
oleh peminat-peminat politik tempatan.
Secara ringkasnya
'Kajang Move' dicetuskan oleh Lee Chin Cheh wakil rakyat dari PKR yang
dipilih oleh penghuni N25 Kajang kira-kira 7 bulan yang lalu, yang
secara tiba-tiba melepaskan segala amanah yang diberikan oleh rakyat
tanpa menjelaskan sebab pengunduran beliau, seperti mana surat yang
diserahkan kepada Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh Tseow Suan bertarikh
27 Januari 2014 secara serahan tangan.
Walaupun tindakan ini
sejajar dengan Artikel 68 Perlembagaan Negeri Selangor yang menyatakan
seseorang wakil rakyat boleh mengosongkan kerusi mereka hanya dengan
menyatakan secara bertulis kepada Speaker Dewan, ia tetap mengundang
kontroversi kerana bertentangan dengan prinsip 'Bersih' yang mereka
sering laung-laungkan.
Apatah lagi ketika rakyat dibebani
dengan kenaikan kos sara hidup, mereka pula sewenang-wenangnya
membazirkan wang milik rakyat untuk mengadakan sebuah pilihan raya kecil
yang tidak perlu diadakan sebenarnya.
Tindakan tersebut telah
menyebabkan Suruhanjaya Pilihan Raya terpaksa memperuntukkan kos operasi
sekurang-kurangnya RM2 juta tidak termasuk untuk perbelanjaan yang
terpaksa dikeluarkan oleh agensi-agensi lain seperti polis, tentera,
pihak media dan parti-parti politik yang terbabit.
Drama ini
bertambah menarik apabila sehari selepas itu, iaitu pada tanggal 28
Januari Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa beliau sendiri akan
bertanding di bawah panji PKR untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan
oleh Chin Cheh.
Populariti
Ramai daripada kita
ternganga melihat percaturan apa yang cuba dilakukan oleh PKR. Mencari
satu kerusi selamat untuk diberikan kepada ketua mereka sudah pastinya
mengundang spekulatif yang negatif.
Walaupun banyak penafian yang dikeluarkan oleh pusat PKR namun ia tidak mampu meniup goyangan angin menderu.
Kalau dilihat pada ulasan yang diberikan oleh Pengarah Strategi PKR,
Rafizi Ramli percaturan ini sekadar pergerakan taktikal bertitik tolak
daripada gerakan dalaman UMNO sendiri yang memaksa mereka bertindak
sebegini rupa.
Menyalahkan UMNO untuk mereka menghalalkan
sesuatu bukanlah perkara baru dalam PKR. Politik PKR sebenarnya tidak
sesusah pengiraan aljebra untuk difahami. Mengapa isu ini dimainkan
secara besar-besaran.
Ramai sudah mengetahui Selangor merupakan
sebuah negeri "lubuk emas" buat siapa sahaja yang menerajuinya.
Selangor merupakan negeri kelima terkecil di Malaysia, mencapai status
negeri maju 15 tahun lebih awal berbanding negeri-negeri lain di negara
ini.
Negeri yang hampir 6 juta penduduk ini mempunyai pendapatan per kapita RM36,135 mengikut unjuran 2012.
Ini menunjukkan betapa peri pentingnya Selangor dalam minda politikus.
Ia boleh menjadi sumber kewangan dalam menaja banyak perkara yang boleh
membantu populariti seseorang pemimpin.
Namun bagi PKR
kepimpinan yang ada sekarang gagal membantu ke arah itu, maka wujudlah
pergeseran yang tidak pernah reda antara Menteri Besar selama 6 tahun
dengan pucuk kepimpinan parti.
Bagi pimpinan PKR pusat,
Selangor adalah milik mereka walaupun mereka mempunyai kerusi yang
kurang sedikit berbanding sekutu mereka dalam pakatan pembangkang.
Kekuatan Anwar Ibrahim dalam mempengaruhi dan menjadi orang suruhan
cukup kuat berdasarkan formula; Kelantan untuk Pas; Pulau Pinang milik
DAP dan Selangor empunyanya PKR.
Berdasarkan konsep 'keadilan'
ini, maka secara tidak langsung segala perkara yang berkaitan dengan hal
ehwal Selangor jarang sekali mereka merujuk kepada rakan-rakan
sepermainan kerana untuk PKR ia tidak perlu mendapat sebarang
'konsensus'.
Tanpa kita sedari, PKR tanpa Selangor mereka
hanyalah parti cebisan, maka silap langkah tamatlah cita-cita mereka
menawan Putrajaya apatah lagi matlamat Anwar untuk menjadi Perdana
Menteri.
Berdasarkan senario ini, PKR memerlukan satu kekuatan
untuk mengimbangi kuasa rakan-rakan sekutu mereka. Bukan menyaingi UMNO
seperti yang cuba ditutup rapat oleh Rafizi. Maka tidak boleh dinafikan,
antara kekuatan yang mereka perlukan ialah penyaluran kewangan yang
padu.
Seperti mana semua maklum Menteri Besar Selangor ketika ini Tan Sri Khalid Ibrahim, merupakan bekas tokoh korporat yang hebat.
Kehebatan penglibatan korporat beliau gagal diterjemahkan dalam bahasa
politik PKR. Beliau mengendalikan Selangor seperti sebuah syarikat yang
ada untung dan rugi kewangannya.
Duit tidak boleh dibelanja
sewenang-wenangnya tanpa memikirkan risiko masa depan. Gaya pentadbiran
sebegini menyebabkan ramai rakan yang berbumbungkan PKR tersekat
langkah.
Ramai yang bercita-cita untuk melobi hasil politik
tersekat dengan langkah berhati-hati Khalid. Kekalutan ini menimbulkan
keresahan buat rakan-rakan dalam parti yang menyebabkan perlunya berlaku
perubahan drastik di Selangor.
Apabila Anwar mengumumkan
beliau akan bertanding di Kajang secara tidak langsung beliau memberi
isyarat pengunduran buat Khalid kerana mana mungkin seorang yang
bergelar Ketua Pembangkang yang juga mantan Timbalan Perdana Menteri
akan menerima tudingan daripada seseorang yang dianggap mentah dalam
mainan sepak terajang politik.
Kalaulah kehadiran Anwar di
Selangor hanya sebagai penasihat pengurusan negeri, tidak cukupkah
dengan jawatan sebagai penasihat ekonomi Selangor. Dan tidak cukupkah
Saifuddin Nasution proksi Anwar menjadi Ketua Staf di pejabat Menteri
Besar?
Pastinya, tindakan ini bukan sekadar untuk Anwar menjadi
ADUN tanpa 'bisa', beliau yang kita kenali mesti mahukan sesuatu yang
lebih besar.
Dan seperti mana tiupan angin, khabar mengatakan
Khalid hanya akan berundur jika musuh politik beliau Azmin Ali tidak
diangkat menjadi Menteri Besar, maka apa pilihan yang PKR ada selain
meletakan Penasihat mereka sebagai teraju utama negeri itu.
Seperti yang dinyatakan, walaupun dinafikan, politik PKR tidak sesusah pengiraan aljebra.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan