SRIKANDI SHARIENA

Selasa, 28 Januari 2014

Membaca Anwar Ibrahim Yang Licik?????Hari ini disahkan bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) kerusi DUN Kajang selepas penyandangnya, Lee Chin Cheh meletak jawatan secara tiba-tiba semalam.

Dalam sidang media yang dibuat hari ini di ibu pejabat PKR, turut hadir adalah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang kononnya memperlihatkan sokongan padunya akan tindakan Anwar untuk bertanding di DUN tersebut.

Ketika sidang media diadakan, Anwar memberitahu tindakan beliau bertanding sebagai calon adalah kerana bagi memastikan pucuk pimpinan PKR bertambah kukuh demi mencapai hasrat parti PR untuk menawan Putrajaya.

“Kita bermesyuarat dan keputusan kita ialah menumpukan DUN Kajang dan keputusan kita bersama untuk memastikan pimpinan PKR bergerak menjadikan tapak yang kuat, untuk mengambil alih Putrajaya,” kata Anwar.




Umum mengetahui, ramai pemimpin parti PR bersetuju apabila Anwar diangkat menjadi calon untuk bertanding selain sebagai landasan untuk dicalonkan sebagai MB Selangor selepas ura-ura mengatakan Khalid bakal dipecat.

Isunya adalah kerana pergaduhan peribadi yang tercetus antara Khalid dan Azmin yang berlarutan sekian lama hinggakan Anwar terpaksa mengambil keputusan seperti ini.

Namun, biarpun Anwar begitu lantang mengkritik Khalid sebelum ini dan juga selepas diumumkan Azmin digugurkan dari ahli lembaga PKNS, Anwar nampaknya masih memerlukan khidmat Khalid sebagai MB Selangor.

Perkara itu dinyatakan sendiri oleh Anwar dalam sidang media pengesahan beliau bertanding dalam PRK Kajang.

“Jadi setakat ini kita minta MB (Khalid) teruskan tugasnya sehingga kita lihat seterusnya,” katanya.

Ini menampakkan semakin jelas permainan yang cuba dilakukan oleh Anwar apabila menampakkan sisi dirinya yang begitu telus kononnya mahu memperjuangkan matlamat parti PR tetapi berteka-teki dengan membiarkan kedudukan Khalid sebagai menteri besar tanpa kata putus yang tepat.

Secara tidak langsung, Anwar masih lagi bertekai-teki sama ada beliau akan menjadi calon untuk jawatan MB Selangor selepas Khalid dilucutkan jawatannya.

Malah, Khalid juga seolah-olah menutup mata tentang isu dirinya akan disingkirkan dari mentadbir Selangor selepas hampir sepenggal lebih menyandang jawatan besar itu dengan mengumumkan sendiri pencalonan Anwar.




“Itu bukan isunya sekarang, sekarang kerja kita ialah membantu untuk DUN Kajang menang, laporan akhbar boleh membantu juga supaya tidak perlu ada pertandingan di situ,” kata Khalid.

Dalam perkembangan sama, Azmin juga memainkan peranan beliau dengan memuji dan ‘membodek’ langkah yang dibuat oleh ketuanya dengan hasrat dirinya tidak akan tersingkir dari pergaduhan antara dirinya dan Khalid.

Kata Azmin, tindakan Anwar itu satu tindakan yang wajar dan patut dipuji kerana dilihat sebagai perjuangan untuk memartabatkan parti.

“Saya rasa ini melibatkan soal perjuangan parti, bukan soal kepentingan peribadi,” kata Azmin.

Justeru, dalam soal perebutan kuasa yang berlaku di Selangor, inilah permainan dan teka-teki yang cuba dimainkan oleh Khalid, Anwar dan Azmin dan alasan mahu memperjuangkan dan memartabatkan parti PR adalah satu alasan yang tidak ikhlas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan