SUDAH 67 tahun UMNO menjadi parti politik utama di
negara ini. Bukan itu sahaja, UMNO telah menjadi parti tonggak kepada
kemerdekaan dan pentadbiran negara.....UMNO sebagai parti tertua di
negara ini sudah melalui pelbagai kemelut dalaman dari zaman Tunku Abdul
Rahman Putra Al- Haj hingga ke kepemimpinan era ini.
Maka, sudah sampai masa UMNO diremajakan semula, dengan mengangkat muka baru yang bukan sahaja berpelajaran, berketerampilan malahan mampu berpidato dengan begitu hebat sekali.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, lebih ramai bakat
baharu dalam UMNO harus diberi peluang mengisi jawatan penting dalam
pemilihan parti Oktober ini.
Beliau yang juga Presiden UMNO
berkata, kombinasi bakat baharu di samping penyertaan muka-muka lama
penting bagi memperkukuh dan memastikan parti itu terus kekal relevan.
Bagai pucuk dicita ulam mendatang, inilah saat sebenar untuk ahli-ahli
UMNO yang berjumlah 3.2 juta menentukan saf kepimpinan mereka bagi
menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kurang lima tahun lagi.
Proses peremajaan UMNO sememangnya bukan suatu misi yang mudah tetapi
tidak mustahil boleh dilaksanakan. Ahli-ahli UMNO dari pucuk sampai ke
akar umbi diberi mandat untuk memilih pemimpin cawangan, bahagian
malahan sampai ke peringkat pusat. Jika ini bukan dinamakan demokrasi
terpimpin apakah ayat yang sesuai untuk kita gambarkan era Najib.
Kita jangan jadi Melayu yang memandang sebelah mata kepada anak-anak
kita yang kita curahkan ilmu dan kemajuan selama ini. Mereka kini sudah
besar panjang dan mempunyai wibawa untuk menjadi pewaris kepimpinan
negara yang semakin berkembang di segala segi.
Sampai bila
golongan muda terus tunduk kepada pengaruh pemimpin lama yang enggan
melepaskan jawatan mereka di mana- mana peringkat sekalipun. Takut nanti
bakat muda menjadi tukun politik semata- mata.
Najib sendiri
melahirkan kebimbangan jika tiada bakat baru dalam UMNO pasti satu hari
nanti masalah hendak memilih calon berwibawa akan berulang. Jangan
sampai masalah memilih calon yang dihadapi UMNO dan Barisan Nasional
(BN) pada PRU-13 bakal berulang.
Dalam mana tamadun sekalipun,
jika tiada pemimpin pelapis pasti tamaddun tersebut akan runtuh.
Sekalipun ada pelapis sudah pasti yang mengganti tempatnya, merupakan
pemimpin yang lemah sebagaimana yang dihadapi oleh Kerajaan Mesir Purba.
Yang tinggal di Mesir kini adalah warisan dunia iaitu pyramid dan
sphinx yang dibayangi sengketa antara penyokong Mursi dan puak Tamarod.
Seharusnya pengorbanan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri
Mohamed Nazri Abdul Aziz; bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan
Kebudayaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri
Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah untuk tidak bertanding dalam pemilihan
parti dianggap suatu ketentuan qada dan qadar.
Betapa mereka melihat UMNO perlu diremajakan semula dan bukan setakat dijenama semata-mata.
Kepada pemimpin UMNO yang ingin bertanding jawatan ahli Majlis
Tertinggi (MT) ukurlah baju di badan sendiri. Pastikan akar umbi memberi
sokongan mantap dan ikhlas. Ini bagi memastikan peranan anda dalam saf
kepimpinan pusat lebih berkesan hingga ke PRU-14.
Sudah menjadi
adat dunia pemimpin datang, pemimpin pergi. Namun biarlah pergi dalam
jasa dirindui dan bakti diingati. Jangan ditewaskan oleh rasa yakin yang
tinggi hingga melupakan bahawa dunia ini akan kita tinggalkan untuk
generasi Y yang setiap hari akan lahir dari mana-mana rahim yang berisi
jasad bernama bayi.
Justeru, kepada pemimpin-pemimpin muda yang
bersemangat waja, di tangan dan bahu anda UMNO bakal diwarisi
perjuangannya untuk membela orang Melayu dan ahli-ahli dalam kalangan
etnik di Sabah. Ia bukan diwujudkan untuk perjuangan individu
semata-mata. Ia juga bukan alat mencari kekayaan tetapi wadah
mensejahterakan rakyat Malaysia keseluruhannya.
Kepada
ahli-ahli UMNO semua, hargailah kepimpinan orang muda, wariskan
kepimpinan sama ada di peringkat akar umbi atau di pucuk pimpinan dengan
memberi mandat dan undi kepada mereka.
UMNO yang remaja pasti
akan menarik sokongan orang muda yang terlalu taksub dengan pemimpin
pembangkang yang vokal tetapi entah untuk siapa dan apa sebenarnya.
Melainkan untuk kepentingan individu semata-mata. Insya-Allah UMNO lebih
muda pada hujung tahun ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan