SRIKANDI SHARIENA

Rabu, 21 Ogos 2013

Kegagalan Penguasaan Bahasa Mandarin Akan Meramaikan Lagi Senarai Gagal Bayar Balik PTPTN???

PTPTN sudah pun membuat pengumuman. Penerima PTPTN yang tidak membayar hutang mereka, akan disenaraikan di bawah Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS). Dengan kata lain, tak bayar hutang bermakna akan wujud masalah lain yang lebih besar, termasuklah kegagalan berurusan dengan sebarang kemudahan kewangan daripada sektor perbankan di negara ini.

Tindakan dan keputusan yang dibuat oleh PTPTN itu, memang betul dan suatu bentuk hak. Bukan sahaja hak kepada PTPTN sendiri, sebaliknya kepada generasi baru pelajar kemudian hari yang sudah tentu amat memerlukan bantuan PTPTN bagi mereka melanjutkan pelajaran ke institusi-institusi pengajian tinggi di seluruh Malaysia, sama ada IPTA, mahupun IPTS.

Namun, ada sesuatu yang gagal dilihat atau disedari oleh kebanyakan pihak selama ini.

Penekanan terhadap pengambilan pekerja-pekerja baru melibatkan bekas pelajar, amat bergantung kepada keupayaan mereka dalam beberapa perkara, termasuklah penguasaan bahasa selain pengalaman.

Ada sesetengah syarikat sengaja meletakkan syarat, FASIH DAN MENGUASAI BAHASA MELAYU, INGGERIS DAN MANDARIN.

Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris bukannya perkara besar bagi kebanyakan generasi muda. Walaupun mungkin bunyinya seperti tongkang berlanggar batu, tetapi setidak-tidaknya mereka faham, boleh bertutur, mahupun membaca kalaupun terkial-kial untuk menulis. Namun apabila membabitkan BAHASA MANDARIN, kebanyakan generasi muda Melayu dan Bumiputera, langsung BUTA HURUF.

Bahasa Kebangsaan Malaysia adalah Bahasa Melayu. Bahasa kedua pula secara rasmi adalah Bahasa Inggeris. Namun penguasaan dan kekuasaan kaum Cina terutama sekali dalam bidang perniagaan, menyebabkan Bahasa Mandarin menduduki carta teratas. Sehinggakan ada sesetengah firma Melayu-Bumiputera terutama yang berkaitan dengan pemasaran, turut mengenakan syarat BOLEH MEMBACA, MENULIS DAN BERTUTUR DALAM BAHASA MANDARIN untuk pengambilan pekerja-pekerja baru.

Sehingga ke hari ini, tidak ada kaedah pembendungan bagi syarat-syarat tersebut. Malahan, walaupun kempen CINTAI BAHASA KEBANGSAAN diadakan oleh Kerajaan sama ada menerusi majlis rasmi, kempen di media-media massa dan elektronik, mahupun menerusi mimbar masjid, ia tidak ubah seperti lakonan bangsawan yang seronok ditengok tetapi apabila keluar panggung, segala ceritera tidak lagi menjadi bekas.

Di kalangan anak-anak muda, syarat-syarat penguasaan Bahasa Mandarin kerap kali diperkatakan. Dan memandangkan di Malaysia, peluang pekerjaan ibarat menukar baju, syarat-syarat sebegitu menyukarkan pencari kerja untuk mencuba pekerjaan baru sekaligus menyebabkan mereka mempunyai alasan untuk menentang kerajaan kerana tidak menyediakan peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan taraf pendidikan mereka.

Justeru, pembayaran balik PTPTN akan menjadi masalah besar kepada bekas-bekas peminjamnya kerana alasan BAHASA MANDARIN mengongkong dan mengehadkan mereka mencari pekerjaan sekaligus mereka tidak mempunyai pendapatan untuk melunaskan pinjaman.

Bukankah generasi muda di Malaysia sekarang yang hidup senang lenang mempunyai seribu satu macam alasan untuk tidak membayar balik dan melihat penguatkuasaan ke atas mereka, sebagai satu bentuk kezaliman?

Dan bukankah sekarang ini para macai Pakatan Rakyat sedang berusaha menanamkan kebencian berterusan di kalangan anak-anak muda terutama sekali peminjam-peminjam PTPTN betapa kejamnya rakyat kerana memaksa mereka membayar semula pinjaman pengajian tinggi sedangkan menurut mereka, adalah hak mereka untuk mendapatkan pendidikan secara percuma?

Jangan terkejut kalau selepas ini, BAHASA MANDARIN tiba-tiba sahaja menjadi masalah mega yang menyebabkan para peminjam PTPTN menyalahkan kerajaan dan PTPTN sendiri kerana menguatkuasakan undang-undang menuntut wang yang telah mereka pinjam walaupun pada masa yang sama, terdapat puluhan ribu peluang pekerjaan lain yang tidak memerlukan BAHASA MANDARIN pun!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan