
Semenjak Pengerusi SEMUT, Huan Chen Guan membuat
pendedahan berhubung klip video sambutan Tahun Baru Cina oleh Ahli
Parlimen Seputeh yang mendapat undi majoriti terbanyak dalam
sejarah pilihanraya umum Malaysia, ramailah yang memberikan reaksi
terhadap video tersebut. Dan seperti yang dijangka, kemarahan sudah
tentulah dari kalangan orang Melayu yang menyokong kerajaan mahupun di
atas pagar berbanding Melayu yang menyokong Pakatan Rakyat.
Yang agak mengejutkan ialah, sudah mula terdapat orang Cina yang
mengecam, mengutuk malah memaki hamun Teresa Kok kerana terlalu biadap
sehinggakan tidak menghormati roh sambutan Tahun Baru Cina walaupun
Teresa Kok sendiri berbangsa Cina.
“Walaupun Teresa Kok seorang
penganut Kristian, saya harap dia tidak memperlekehkan imej bangsa
Tionghua di hadapan bangsa lain di Malaysia,” kata Datuk Huan Chen Guan
dalam satu kenyataannya dari Dubai ketika mengulas kewujudan video
tersebut...
Dua hari sebelum itu, Huan turut mendedahkan
tentang perangai biadap seorang lagi pemimpin DAP, Hew Kuan Yau yang
mengutuk PM, Liow Tiong Lai dan beberapa orang pemimpin BN serta
Malaysia secara amnya. Bezanya, Hew Kuan Yau tidak bikin klip video
seperti Teresa Kok sebaliknya sekadar membuat kenyataan menerusi
Facebook.
Pendedahan yang semakin meluas, akhirnya membawa kepada laporan polis dan kemarahan menerusi sidang media.
Itu sahajalah yang mampu dilakukan oleh Melayu dan penyokong kerajaan!
Satu tindakan yang amat bertentangan sekali dengan Pakatan Rakyat.
Kemarahan yang ‘ala-ala manja’ sebegitu, tidak akan membawa sebarang
hasil yang lebih meyakinkan tentang kesungguhan untuk memerangi kembali
sokongan kepada UMNO mahupun kerajaan. Bahkan tindakan membuat laporan
polis dan kebencian yang ditunjukkan kepada perbuatan kurang ajar Teresa
Kok sebenarnya akan mendorong sokongan yang lebih besar kepada Teresa
Kok dan DAP sendiri.
Teresa Kok sebenarnya amat sedar,
tindakannya menyiarkan klip video tersebut akan merangsangkan kemarahan
sebahagian besar rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu. Teresa Kok
tidak akan peduli sama sekali dengan kemarahan Melayu kerana yang dia
mahukan adalah sokongan Cina. Lebih ramai Cina yang akan menyokongnya
berbanding menentangnya.
Mungkin selama ini kita sudah terlupa
apa yang dilakukan oleh Teresa Kok. Kebenciannya terhadap Melayu dan
Islam terserlah menerusi sikap kurang ajarnya mencerobohi Masjid Negara
dan cuba menjadikan Masjid Negara sebagai simbolik kepada pemecahan
orang Melayu-Islam di negara ini dengan sokongan terhadap kedatangannya
secara kurang ajar iaitu dengan berkasut dan tidak menutup aurat. Begitu
juga dengan kebenciannya terhadap tulisan Jawi, laungan azan, bacaan
tahrim dan sebagainya yang menurutnya mengganggu pemandangan,
mengundurkan kemajuan negara dan diskriminasi terhadap Cina.
Bagaimana pula dengan penghinaan yang dilakukan oleh Teresa Kok terhadap
PDRM apabila dia yang ketika itu disiasat di bawah Akta ISA, perlu
dikurung untuk diambil keterangan. Teresa Kok menyifatkan makanan yang
diberikan kepadanya jauh lebih murah berbanding MAKANAN UNTUK ANJINGnya
walaupun PDRM dalam satu kenyataan, menafikan tuduhan Teresa Kok
sebaliknya menyatakan mereka memberikan makanan yang dipesan sendiri
oleh Teresa Kok.
Ada sebarang perubahan daripada perbuatan-perbuatan Teresa Kok itu?
Sudah tentu… sokongan Cina kepada DAP semakin bertambah kuat. Teresa
Kok yang dikecam oleh orang Melayu terutama sekali penyokong kerajaan,
disayangi dan dipuja-puja oleh Cina yang menyokong DAP serta Melayu yang
menyokong Pakatan Rakyat. Sehinggakan Teresa Kok turut dijemput ke
beberapa buah masjid untuk menyampaikan derma oleh JKKK Masjid
seolah-olah cuba mendapatkan keberkatannya.
Teresa Kok memang
mahu melihat Melayu marah. Teresa Kok memang mahu melihat lebih banyak
laporan polis dibuat terhadapnya. Malah kalau boleh, Teresa Kok memang
mahukan KEKASARAN FIZIKAL dibuat terhadapnya kerana semua itu akan
mengundang simpati Cina dan Melayu Pakatan Rakyat kepadanya.
Apatah lagi dengan 48% Melayu dan 41% Cina di Kajang yang menjadi
taruhan untuk melihat DYMM Sultan Selangor dikenakan tindakan dan
tekanan menerusi permainan politik Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat!