SRIKANDI SHARIENA

Rabu, 5 Februari 2014

PAS akan tolong PKR di Kajang...namun kenyataan Hadi bunyi 'lain macam ????

Kenyataan ini memang sudah dijangkakan.Apa lagi pilihan PAS ada dalam situasi ini.Presiden PAS,Datuk Seri Haji Hadi Awang pagi Selasa keluarkan satu kenyataan untuk beritahu hasil mesyuarat Biro Politik dan Pilihanraya PAS yang diadakan di ibupejabat parti itu Isnin malam.

Kenyataan itu 'agak menarik' kalaulah nak dibaca dari sudut susunan ayatnya.

Bunyi macam orang terpaksa saja.



Antara lain,katanya PAS Pusat dan PAS Negeri Selangor akan membantu jentera pilihan raya PKR berdasarkan kepada keperluannya dalam menghadapi PRK ini.

Ini bersesuaian dengan semangat dalam Pakatan Rakyat.

Kenyataan itu kemudian seolah ingin mengingatkan kedudukan Tan Sri Khalid Ibrahim tidak disentuh.

"Dalam pada itu juga, ingin dipertegaskan bahawa isu kedudukan jawatan Menteri Besar Selangor adalah tidak berbangkit,"katanya.

Sebelum ini timbul polimek meluas dikalangan pimpinan pelbagai peringkat PAS yang mempersoalkan kewajaran Ahli Dewan Undangan Negeri PKR Kajang suka-suka mengosongkan kerusi itu.

Malah PAS Selangor dan Pemuda PAS Negeri itu membuat kenyataan terbuka menegur PKR.

Malah ia mengancam akan namakan Persuruhjaya PAS Negeri Iskandar Samad sebagai calon Menteri Besar jika Khalid hendak ditukar.

PAS ada 15 kerusi DUN berbanding 14 PKR di Selangor.

BERIKUT IALAH KENYATAAN PENUH DATUK SERI HAJI HADI AWANG

Parti Islam SeMalaysia (PAS) telah mengadakan Mesyuarat Lajnah Politik dan Pilihan Raya pada jam 9.00 malam, Isnin 3 Februari 2014 bertempat di Pejabat Agung PAS Pusat. Mesyuarat ini telah membincangkan isu-isu politik semasa antarabangsa dan tanahair termasuklah Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kawasan Dewan Undangan Negeri N25 Kajang setelah berlaku kekosongan berikutan perletakan jawatan ADUN Kajang yang memenanginya dalam PRU13 yang lalu.

Bersesuaian dengan semangat dalam Pakatan Rakyat maka PAS Pusat dan PAS Negeri Selangor akan membantu jentera pilihan raya PKR berdasarkan kepada keperluannya dalam menghadapi PRK ini. Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat iaitu YB Dr Mohd Hatta Ramli pula dilantik untuk mengetuai jentera pilihan raya PAS dalam PRK ini. Dalam pada itu juga, ingin dipertegaskan bahawa isu kedudukan jawatan Menteri Besar Selangor adalah tidak berbangkit.

Mesyuarat juga merakamkan kecaman terhadap hukuman gantung sampai mati yang diputuskan oleh Tribunal Jenayah Perang di Bangladesh terhadap mantan Menteri Pertanian (2001 - 2003) dan Menteri Industri (2003 - 2006) Bangladesh yang juga merupakan Ameer Jamaat Islami Bangladesh, Maulana Matiur Rahman Nizami. Beliau telah dinafikan perbicaraan yang adil dan berdepan dengan berbagai ancaman ketika perbicaraan. PAS mendesak agar pihak Tribunal tidak sepatutnya menjadi penghukum politik kepada kerajaan yang terdesak, dan seharusnya mendengar kritikan badan guaman dan hak asasi manusia antarabangsa.

Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Tiada ulasan:

Catat Ulasan