Menteri
Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini menyuruh Pengerusi
PKR negeri itu Azmin Ali untuk tidak masuk campur dalam urusan kerajaan
negeri tanpa memahami peruntukan undang-undang.Beliau menuduh Azmin sebagai tidak memahani enakmen bersabit Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor apabila membantah pemecatan 22 pegawai anak syarikat PKNS.
"Tidak ada apa-apa yang (perlu) kita gaduh di dalam isu PKNS. Kita kena faham enakmen PKNS ialah di bawah Exco negeri, jadi apa-apa pun kerana melalui Exco negeri,” kata beliau.
"Jadi sesiapa nak campur hal itu mesti melalui Exco negeri," ujar Khalid kepada pemberita pada sambutan Tahun Baru Cina, di Bukit Tinggi di sini.
Azmin menuduh Khalid memecat pegawai-pegawai kontrak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor Holdings Sdn Bhd (PHSB) tanpa sebab dan secara tidak berperikemanusiaan.
Beliau juga menuduh Khalid sebagai menggunakan PKNS untuk mencantas musuh-musuh politiknya.
Khalid menegaskan pemecatan itu dibuat mengikut prosedur, malah menjimatkan PKNS RM7 juta ringgit setahun namun kenyataan itu disanggah oleh pegawai-pegawai PHSB yang dipecat.
Dalam pada itu Khalid juga menepis persoalan mengenai masa depannya sebagai Menteri Besar setelah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau “mungkin’ mengambil alih jawatan itu.
Khalid menegaskan buat masa ini, kemungkinan itu tidak timbul kerana ia turut melibatkan kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat.
"Tidak ada apa-apa, kita akan terus berbincang perkara ini (jawatan MB) sebab (ia) memerlukan perbincangan bersama di dalam Pakatan Rakyat," ujarnya ringkas.
Spekulasi Anwar bakal menggantikan Khalid bertebaran sejak ADUN Kajang Lee Chin Cheh mengosongkan kerusi itu untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding.
PRK Kajang akan diadakan pada 23 Mac depan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan