Kerajaan negeri tidak
teragak-agak membuka fail-fail projek bawah kerajaan PR terdahulu jika
terus diserang pembangkang yang seolah mahu menggambarkan kerajaan BN dipenuhi amalan korupsi.
Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, jika pembangkang
berterusan mengambil pendekatan dedah dan serang, pihaknya juga akan
mempertimbang pendekatan sama pada masa akan datang.
“Kita
sedang pertimbangkan perkara ini. Saya ingat dahulu tidak perlu ungkit
perkara-perkara lama tetapi jika pihak sana (pembangkang) seolah mahu
tunjukkan mereka bersih dan kita kotor, kita juga akan bertindak,”
katanya, selepas majlis penyerahan buah limau kepada 14 cawangan MCA
Jerlun, sempena sambutan Tahun Baru Cina, di Wisma Umno Jerlun.
Menurutnya, pihaknya juga bersedia mendedahkan kepincangan dalam
mana-mana projek yang dirancang bawah PR sepanjang lima tahun lalu.
“Mungkin sudah tiba masa kita buka rekod fail-fail projek lama,
antaranya pelaburan pembalakan di Papua New Guinea yang merugikan,
projek ladang buah di Pedu serta pembinaan kampus tetap Kolej Universiti
Insaniah (Kuin),” katanya.
Mengulas tindakan PR yang mengheret
isu penyelesaian luar mahkamah kes saman Bina Darul Aman Berhad (BDB)
dengan sebuah syarikat pembalakan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM), katanya, pihaknya sedia memberi kerjasama yang
diperlukan oleh badan itu.
“Sudah tentu kita akan beri
kerjasama dalam usaha membersihkan segala tuduhan yang boleh menjejaskan
nama baik kerajaan negeri BN. Saya alu-alukan jika SPRM beranggapan kes
itu wajar disiasat kerana mereka hanya menjalankan tugas,” katanya.
Rentetan laporan SPRM itu,
laporan sama turut dibuat di Bursa Malaysia
Securities Berhad (Bursa Malaysia), Suruhanjaya Sekuriti dan Badan
Pengawas Saham Minoriti Berhad (Minority Shareholder Watchdog Group),
Isnin lalu.
Sejak awal Januari lalu, kerajaan BN diserang
secara berterusan oleh pembangkang, bermula dengan isu kenaikan harga
barangan, isu pembelian Mercedes Benz S300 yang dikaitkan dengan kereta
rasmi Menteri Besar, diikuti kes BDB yang dikaitkan dengan pembalakan di
Lebuhraya Trans Eastern Kedah Interland Highway (Tekih).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan