KES LIWAT..!!! Anwar Tidak Boleh Lari Dengan
Pelbagai Alasan Penangguhan Perbicaraan Kali Ini.????Mahkamah
Persekutuan perlu membuat ketetapan pada 11 Februari ini dan tidak wajar
menangguhkan lagi keputusan rayuan kali kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengetepikan Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan kes liwat.
Menurut Muhammad Shafee, keputusan pada hari yang sama itu perlu dibuat
bagi membolehkan rayuan pendakwa raya terhadap pembebasan Ketua
Pembangkang daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful
Bukhari Azlan, 26, dapat didengar pada 12 dan 13 Februari tanpa perlu
sekali lagi ditunda.
“Saya mengetuai pendakwaan ini. Jika
Mahkamah Persekutuan tidak buat keputusan sama ada saya layak atau
tidak, kita tidak boleh teruskan rayuan ini kerana status saya. Hanya
satu cara sahaja untuk pihak pendakwaan meneruskan rayuan tanpa saya
iaitu jika Mahkamah Persekutuan membuat keputusan saya tidak layak.
“Namun semuanya terpulang kepada Mahkamah Persekutuan,” katanya dalam
sidang akhbar di rumahnya di sini, hari ini selepas Mahkamah Persekutuan
menetapkan tarikh baharu iaitu pada 11 Februari ini untuk mendengar
rayuan kali kedua Anwar bagi mengetepikan beliau yang sepatutnya
diadakan pada Selasa lalu.
Pada Disember tahun lalu, panel tiga
hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Aziah Ali, sebulat suara
menolak
permohonan Anwar dan memutuskan pelantikan Muhammad Shafee mengikut
Seksyen 376 (3) Kanun Tatacara Jenayah dan Perkara 145 (3) Perlembagaan
Persekutuan adalah sah mengikut undang-undang.
Rayuan terhadap
kes liwat Anwar dibuat selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9
Januari tahun lalu membebaskan dan melepaskan Ketua Pembangkang itu
daripada tuduhan meliwat Mohd. Saiful di sebuah unit di Kondominium Desa
Damansara antara pukul 3.10 petang hingga 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
Dalam pada itu, diminta mengulas tindakan Anwar dan pasukan peguam
belanya yang berterusan bertindak membuat rayuan bagi mengetepikan
beliau meski pun pelantikan tersebut sah mengikut undang-undang,
Muhammad Shafee berkata, rayuan dibenarkan tetapi berharap tidak
berlanjutan.
“Kita perlu melangkah ke depan dalam kes ini. Kita
ada peringkat lain dan kita tidak tahu keputusannya macam mana.
Kedua-dua pihak mungkin merayu lagi ke Mahkamah Persekutuan, (jika
keadaan itu berlaku) lama lagi perjalanan yang perlu ditempuhi,”
katanya.
Kepada persoalan sama ada keputusan rayuan kes liwat
itu nanti jika berpihak kepada kerajaan bakal menjejaskan Anwar untuk
bertanding sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam Pilihan Raya
Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, beliau berkata, tidak terjejas
kerana Ketua Pembangkang boleh membuat rayuan.
“Anwar masih
boleh bertanding dan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (sekiranya
menang) kalau pun dia disabitkan bersalah dalam kes liwat dengan syarat
rayuannya di Mahkamah Persekutuan nanti kekal dengan keputusan itu
(dilepas dan dibebaskan). Jika tidak, beliau akan berdepan dengan
masalah.
“Sesiapa sahaja yang akhirnya disabitkan oleh Mahkamah
Persekutuan untuk satu kesalahan yang serius dan ini (tuduhan liwat)
adalah satu kesalahan yang serius, maka kerjaya anda sama ada sebagai
ahli politik, ahli Parlimen atau doktor akan berakhir. Keseluruhan
kerjaya anda berakhir,” jelas Muhammad Shafee.
Mengenai
spekulasi beliau bakal dilantik menjadi menjadi peguam negara, Muhammad
Shafee menjelaskan, khabar angin sedemikian telah bertiup sejak 15 tahun
dahulu tetapi pada masa yang sama menegaskan, jika kerajaan yakin atau
percaya dengan kepakarannya beliau bersedia untuk memikul amanah
tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan