Ingat tak lagi
kontroversi ucapan dalam ceramah Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu di
Padang Menora, Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos 2011, kes itu
jadi panas selepas beliau menyatakan
dalam serangan di Bukit Kepong, polis merupakan agen British dan komunis
yang menyerang balai polis itu pada 1950 adalah pejuang kemerdekaan.Ucapan tersebut dapat liputan meluas berikutan bantahan masyarakat termasuk ahli keluarga bekas polis yang terkorban dalam serang hendap komunis itu.
Ding dong...ding dong, Mat Sabu yang tertekan dengan panasnya isu tersebut menyaman akhbar Utusan Malaysia kerana didakwa memutar belit kenyataan beliau.
Dan dalam perbicaraan yang kini berlangsung di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Utusan memanggil bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor untuk menjadi saksi mereka.
Rahim dalam keterangannya di mahkamah tersebut pada Isnin mengatakan Mat Sabu tidak faham erti perjuangan Malaya atau Tanah Melayu ketika berceramah mengenai serangan komunis di Bukit Kepong di Muar, Johor pada 1950.
Katanya, Mat Sabu tidak tahu mengenai serangan komunis di Balai Polis Bukit Kepong ketika berceramah di Padang Menora, Tasek Gelugor pada 21 Ogos 2011.
"Beliau adalah seorang anggota politik yang bercakap besar tentang satu isu besar, tetapi tidak tahu apa-apa. Itulah jadinya...," kata Abdul Rahim di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Seri Zakaria Sam.
Abdul Rahim yang merupakan saksi kelima berkata demikian ketika disoal peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Utusan Melayu (M) Bhd, pada perbicaraan kes saman fitnah Mat Sabu terhadap akhbar itu dan Ketua Pengarang Kumpulannya, Datuk Aziz Ishak.
Utusan turut diwakili peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun manakala Mat Sabu diwakili peguam Mohamad Hanipa Maidin dan Amiruddin Zulkifli.
Abdul Rahim berkata semasa serangan komunis pada 23 Feb 1950 itu, pada dasarnya anggota polis hanya melakukan tugas mereka untuk melindungi Balai Polis Bukit Kepong.
"Tidak ada perbezaan dalam ikrar yang dilakukan polis sekarang dan sebelum ini, iaitu untuk menegakkan keamanan dan ketenteraman awam.
"Satu-satunya perbezaan pada 1950, kerajaan kolonial British yang mentadbir seluruh Malaya dan Singapura.
"Oleh itu, (polis bertindak terhadap) sesiapa yang mengambil senjata atau melakukan sesuatu yang menyalahi undang-undang atas nama merevolusikan negara ini," katanya dalam perbicaraan yang berlangsung lebih dua jam itu.
Apabila ditanya jika Mohamad (Ahmad) Indera atau Mat Indera yang mengetuai serangan di balai polis itu, adalah seorang pejuang kebebasan atau komunis, Abdul Rahim berkata beliau mempunyai dua sumber iaitu bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng dan bekas pengerusi PKM Abdullah CD, yang mengatakan Mat Indera adalah bekas komunis.
Rahim terlibat secara langsung dengan proses damai antara kerajaan Malaysia dan Parti Komunis Malaya pada tahun 1989 ketika berkhidmat sebagai Ketua Cawangan Khas PDRM.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan