SRIKANDI SHARIENA

Isnin, 26 Ogos 2013

Betulkah PAS Tak Kejar Undi Cina?????


“Adalah tak betul kalau katakan kita terlalu fokus undi Cina walaupun keputusan menunjukkan begitu,” demikian petikan kenyataan oleh Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub sebagaimana disiarkan oleh portal rasmi parti itu semalam.....Orang yang mengalami denial syndrome jarang mengakui kesilapan sendiri, selalunya ada sahaja alasan untuk menafikannya. Macam itu juga dengan Salahuddin yang bersuara bagi pihak PAS.

PAS mungkin boleh menipu sesetengah penyokongnya yang taksub, tapi tak semua orang mudah menelan bulat-bulat kenyataannya. Mana mungkin khalayak lupa pasca PRU-12 memperlihatkan dengan jelas betapa pendirian PAS semakin rapuh dan suaranya semakin lunak.

Dari hal kandang babi berharga ratusan juta ringgit dan penjualan arak di kawasan majoriti Islam, membawa kepada isu kemurtadan dan liberalisasi akidah dan kini isu kalimah Allah yang masih hangat dibicarakan, semuanya PAS mengalah kerana nak mengejar undi Cina DAP dan PKR.

Demikian halnya bila mana ada beberapa orang pemimpin non-muslim PR yang berucap di ruang utama solat mencemar kesucian Rumah Allah S.W.T, PAS menjadi jaguh mempertahankan tindakan tersebut tanpa menyelami bantahan orang Melayu Islam.

Dari beberapa isu di atas ada antaranya menyebabkan PAS mengambil langkah songsang memecat pemimpinnya yang lantang bersuara seperti Hasan Ali semata-mata demi untuk memuaskan nafsu rakan sepakatan dari DAP dan PKR atas dasar kepercayaan undi Cina bakal menentukan penguasaan PR.

Dek kerana satu dua isu itu juga bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa dipecat keanggotaannya sebagai ahli Majlis Syura Ulama PAS hanya kerana mahu meredakan gelora amarah pemimpin DAP disamping untuk membuktikan PAS semakin liberal serasi dengan kewujudan PR.

Demi kerana mengejar undi Cina DAP jugalah PAS bermurah hati membiarkan pemimpin Cina PR menguasai tanah balak di Kelantan yang luasnya hampir sebesar Putrajaya, sedangkan di masa yang sama anak watan Melayu Islam yang memohon hak pemilikan tanah bagaikan menunggu buah tak gugur.

Dek mengikutkan tuntutan DAP, maka PAS korbankan perjuangan membentuk Negara Islam atas alasan tiada dalam Al-Quran meski pun sejak 60 tahun dulu itulah misi utamanya. Juga kerana kemaruk mengejar undi Cina, PAS menurut sahaja kehendak DAP dengan mengabaikan perlaksanaan hudud.

‘Berkat’ kesungguhan PAS bertoleransi itulah akibatnya pada PRU-13 lepas PAS gagal menawan hati nurani majoriti pengundi Melayu Islam malah satu pertiga dari 21 kerusi Parlimen yang dimenanginya adalah hasil dari sokongan pengundi Cina DAP dan PKR.

Namun malangnya semua yang dilakukan PAS sehingga menggadai prinsip juangnya sendiri tidak pun berjaya meletakkan PAS menggapai kejayaan yang lebih hebat berbanding tuan besarnya DAP malah tidak juga membolehkan PAS berdiri sama tinggi dengan PKR.

PAS akhirnya kekal menjadi pak turut dan serasi sebagai lembu tunggangan untuk DAP dan PKR, sementara kedua-duanya meraih laba besar hasil sikap ‘tololransi’ itu, PAS pula semakin terpinggir di kalangan orang Melayu Islam yang selama ini adalah asas tunggak kekuatannya.

Hakikat inilah yang cuba disembunyikan oleh pemimpin PAS seperti Salahuddin yang masih mahu berdolak-dalik barangkali disebabkan bimbang penyokongnya semakin menyedari asas perjuangan PAS sudah kian rapuh dan prinsip juangnya kini kian berkiblatkan aspirasi DAP dan PKR.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan