SRIKANDI SHARIENA

Rabu, 26 Februari 2014

Perjuangan Belum Selesai

Sesungguhnya tidak ada yang lebih menyayat hati 
Dari melihat bangsaku dijajah 
Tidak ada yang lebih menyedihkan dari membiarkan bangsaku dihina 
Air mata tiada ertinya 
Sejarah silam tiada maknanya 
Sekiranya bangsa tercinta terpinggir 
Dipersenda dan dilupakan 
Bukan kecil langkah wira bangsa 
Para pejuang kemerdekaan 
Bagi menegakkan kemuliaan 
Dan darjat bangsa 
Selangkah bererti mara 
Mengharung sejuta dugaan 
Biarkan bertatih asalkan langkah itu yakin dan cermat bagi memastikan negara merdeka dan bangsa terpelihara air mata sengsara mengiringi setiap langkah bapa-bapa kita 
Tugas kita bukan kecil 
Kerana mengisi kemerdekaan 
Rupanya lebih sukar dari bermandi 
Keringat dan darah menuntutnya 
Lagi pula apalah ertinya kemerdekaan 
Kalau bangsaku asyik mengia 
Dan menidakkan, 
Mengangguk dan membenarkan, 
Kerana sekalipun bangganya negara kerana makmur dan mewahnya bangsaku masih melata dan meminta-minta di negaranya sendiri 
Bukan kecil tugas kita 
Meneruskan perjuangan kemerdekaan kita 
Kerana rupanya selain memerdekakan, 
Mengisi kemerdekaan jauh lebih sengsara 
Bangsaku bukan kecil hati dan jiwanya 
Bukankah sejak zaman berzaman 
Mereka menjadi pelaut, pengembara 
Malah penakluk terkemuka? 
Bukankah mereka sudah mengembangkan sayap 
Menjadi pedagang dan peniaga 
Selain menjadi ulama dan ilmuwan terbilang? 
Bukankah bangsaku pernah mengharung Samudera menjajah dunia yang tak dikenal 
Bukankah mereka pernah menjadi wira serantau 
Yang tidak mengenal erti takut dan kematian? 
Tugas kita belum selesai rupanya 
Bagi memartabat dan memuliakan bangsa kerana hanya bangsa yang berjaya akan sentiasa dihormati 
Rupanya masih jauh dan berliku jalan kita 
Bukan sekadar memerdeka dan mengisinya tetapi mengangkat darjat dan kemuliaan buat selama-lamanya 
Hari ini, jalan ini pasti semakin berliku 
Kerana masa depan belum menjanjikan syurga 
Bagi mereka yang lemah dan mudah kecewa 
Perjuangan kita belum selesai Kerana hanya yang cekal dan tabah 
Dapat membina mercu tanda Bangsanya yang berjaya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan