Masih ramai yang tertanya-tanya, apa muslihat Ketua
Umum PKR, Anwar Ibrahim yang mengumumkan akan membawa bekas Menteri
Besar Selangor, Muhammad Muhammad Taib ke dalam pentadbiran Selangor.
Dia yang berucap di Kompleks Penghulu Batu 10 Cheras, di Kajang
baru-baru ini, mengatakan Muhammad yang juga dikenali sebagai Mat Tyson
itu mempunyai kepakaran dalam program desa dan ia amat diperlukan dalam
pentadbiran Selangor.
Mat Tyson ketika diminta mengulas
pelawaan tersebut mengatakan dia sedia membantu sekiranya Anwar
memerlukan khidmatnya. Menjelang pilihanraya umum yang lalu, dia juga
pernah mengumumkan hasratnya untuk menyertai Pas
“Politik itu adalah the ‘art of possible’. Tiada apa yang mustahil dalam politik,” katanya.
Muhammad adalah menteri besar Selangor antara 1986 hingga 1997 sebelum
digantikan dengan Tan Sri Abu Hassan Omar. Dia melepaskan jawatan
sebagai menteri besar Selangor pada 1998 setelah Mahkamah Majistret
Brisbane memutuskannya bersalah membawa wang tunai berjumlah RM2.4 juta
ke Australia.
Ia sekali gus menimbulkan persepsi di kalangan
pemerhati politik yang merasakan ia sebagai satu muslihat Anwar untuk
memujuk para penyokong, ahli dan pimpinan Pas yang sebelum ini membantah
keras sebarang cadangan untuk menukar kepimpinan Selangor.
Umum mengetahui antara sebab utama berlakunya pilihanraya kecil Kajang
adalah bertujuan untuk membolehkan Anwar bertanding sekali gus
membolehkannya dilantik sebagai Menteri Besar Selangor bagi menggantikan
Abdul Khalid Ibrahim.
Ia ekoran dari masalah dalaman dan
perebutan kuasa antara Khalid dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang
saling menyerang antara satu sama lain. Atas alasan itu, PKR mendakwa
Anwar diperlukan untuk menyelesaikan kemelut tersebut.
Persoalannya, sekiranya benar Mat Tyson diperlukan atas kepakarannya,
mengapakah perkara itu tidak diumumkan oleh Khalid? Sedangkan sebagai
Menteri Besar Selangor yang masih menyandang jawatan tersebut, sudah
pasti Khalid mempunyai ‘locus standi’ untuk menjemput Mat Tyson
berbanding Anwar.
Atau sememangnya Mat Tyson sebenarnya
diperlukan untuk memujuk pimpinan Pas agar menerima Anwar sebagai
Menteri Besar yang baru. Atau Anwar sebenarnya mengharapkan sokongan dan
pengaruh istana Mat Tyson yang pernah menjadi ipar kepada Sultan
Selangor.
Ini kerana walau apa pun strategi yang digunakan oleh
Anwar, ia tidak akan dapat dilaksanakan sekiranya tidak mendapat
perkenan dari Sultan Selangor. Ini kerana keputusan terakhir untuk
melantik menteri besar yang baru terletak atas budi bicara Sultan
Selangor, sekiranya Tuanku tidak memperkenankan perlantikan Anwar nanti,
semua kemelut di dalam ‘Gerak Kajang’ ini merupakan satu kerja yang
sia-sia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan