SRIKANDI SHARIENA

Khamis, 30 Januari 2014

Mat Sabu Mohon Pas Sokong Dsai Dun Kajang?????

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menggesa ahli parti Islam itu supaya merapatkan barisan dan memberikan sokongan penuh kepada calon Pakatan Rakyat yang akan bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Kajang nanti.

Mohamad yang juga mesra dengan nama Mat Sabu membuat gesaan itu ketika ada suara-suara dalam PAS yang mempertikaikan kewajaran ADUN Kajang daripada Parti Keadilan Rakyat, Lee Chin Cheh letak jawatan dengan alasan "demi kepentingan politik".

Beliau menegaskan Pemuda PAS tidak akan memulaukan kempen pilihan raya kecil Kajang biarpun Pemuda PAS Selangor mengancam akan berbuat demikian.

"Itu pandangan peribadi mereka," katanya kepada wartawan dalam satu sidang media bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu pejabat PKR pada Rabu.

Mat Sabu menambah pandangan peribadi ahli PAS tidak mencerminkan pendirian rasmi parti.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Nasruddin Hassan Tantawi adalah antara pemimpin kanan PAS yang lantang membidas PKR dan menyifatkan tindakan mengkhianati pengundi sebagai satu perbuatan haram.

"Saja-saja letak jawatan untuk membolehkan pilihanraya kecil diadakan bagi memberi laluan pada seseorang yang lain. Macam main-main saja!" tulis Nasruddin di laman Facebooknya pada Selasa.

Kata beliau, pilihan raya kecil bukan medan untuk menguji kekuatan atau populariti, jauh sekali medan untuk menyingkirkan rakan seperjuangan — merujuk kepada krisis dalaman PKR Selangor.

Chin Cheh mengosongkan kerusinya melalui sepucuk surat yang diserahkan kepada

Speaker DUN Selangor pada Isnin dengan alasan bagi membolehkan parti memilih orang lain untuk berkhidmat dengan lebih baik.

Tindakannya mengejutkan beberapa pimpinan Pakatan Rakyat dan mendapat kecaman banyak pihak termasuk badan pemantau pilihan raya, Bersih 2.0.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali menyeru pemimpin dan anggota PAS supaya tidak membuat sebarang kenyataan spekulasi berhubung kekosongan kerusi DUN Kajang dan kedudukan Menteri Besar Selangor.

Beliau memberitahu Harakah Daily bahawa PAS dan Pakatan Rakyat sehingga kini tidak pernah membincangkan isu berhubung kedudukan jawatan itu sebaliknya hanya isu kekosongan DUN Kajang.

"Secara amalan yang berlaku dalam Pakatan Rakyat, mana-mana kerusi yang dikosongkan atas apa juga sebab sekalipun, calon yang akan mengisi kekosongan itu adalah daripada parti yang bertanding di kawasan itu sebelumnya.

"Oleh kerana DUN Kajang pada pilihan raya umum lalu ditandingi oleh calon PKR, maka calon yang dipilih untuk mengisi kekosongan itu mestilah daripada PKR," katanya.

Tambah beliau, siapa pun yang dinamakan oleh PKR, calon itu akan disokong oleh Pakatan Rakyat.
Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang juga pengerusi Pakatan Rakyat Selangor pada Selasa mengumumkan Anwar sebagai calon bagi kerusi DUN Kajang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat pada 5 Februari ini bagi menentukan kedudukan kerusi itu dan seterusnya menetapkan tarikh penamaan calon dan pilihan raya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan